Monday 14 November 2011

Punca IKS Tidak dapat dipasar di luar negara

INDUSTRI halal berpotensi besar untuk diteroka perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di peringkat domestik atau global kerana nilai pasaran halal global kini mencecah RM6.5 trilion setahun dan memberi kesan positif kepada ekonomi negara jika diambil kesempatan sebaik mungkin.

Shapers Malaysia Sdn Bhd, sekretariat tetap dan pengasas Pameran HalalAntarabangsa Malaysia (Mihas) baru-baru ini menganjurkan Halal Fiesta Malaysia (Halfest) bagi membantu usahawan tempatan memperkembangkan produk halalkeluaran mereka. Ikuti temu bual wartawan Bisnes Metro, Hafiz Ithnin bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Shukri Abdullah (gambar) mengenai potensi sektor halalkepada PKS tempatan.



SELAIN mengadakan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia  atau Halfest, apakah projek terbaru bakal dilaksanakan?


Buat masa ini, kami lebih fokus untuk mengukuhkan penganjuran Halfest di dalam negara bagi memastikan usahawan tempatan mempunyai landasan khusus mempromosikan produk halal mereka di pasaran domestik sebelum ke luar negara.

Bagi Mihas pula, kami bercadang memperluaskan dan memperbanyakkan promosi ke peringkat antarabangsa selain menarik minat pembeli dari luar negara ke Malaysia.

Berapa peratuskah peserta PKS yang terbabit dalam Halfest?

Lebih 60 peratus peserta adalah PKS yang mana lebih daripada 30 peratus adalah PKS disenaraikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA). Ini satu petunjuk positif sokongan dan usaha kerajaan menghasilkan usahawan mampan serta usaha kerajaan yang sentiasa menyokong pelbagai inisiatif bagi usahawan tempatan seperti Mihas dan Halfest demi meningkatkan daya saing.

Apakah langkah yang dilaksanakan oleh Halfest bagi membantu PKS lebih menonjol dalam perniagaan berasaskan produk halal secara persendirian?

Halfest bertujuan membudayakan halal di kalangan rakyat Malaysia menerusi penganjuran tahunan iaitu platfom khas mempromosikan produk dan perkhidmatanhalal tempatan. Ini secara langsung memperkasakan usahawan tempatan ke arah usaha menjadikan Malaysia sebagai hab halal global.

Penganjuran Halfest secara tidak langsung membuka ruang kepada pihak kerajaan negeri mengenal pasti keupayaan daya saing dan daya eksport usahawan seterusnya merangka program khusus melatih usahawan ini.

Justeru, kewujudan Halfest sebenarnya berfungsi sebagai arena kompetitif agar usahawan dapat melihat usahawan lain sebagai satu persaingan (yang positif). Secara langsung, ia mewujudkan usahawan yang mempunyai inisiatif tinggi memajukan dan memperkembangkan pasaran produk mereka bagi mengaut keuntungan dari permintaan produk halal yang tinggi.

Apakah faktor yang membuatkan PKS tempatan terutama Bumiputera tidak ramai membawa produk mereka ke pasaran luar?

Antara faktor yang sering diutarakan adalah seperti masalah memenuhi kapasiti penghasilan produk yang mendapat permintaan luar negara. Ini berpunca daripada masalah memperoleh bahan mentah dalam kuantiti yang banyak serta tidak mampu dibiayai.

Masalah berkaitan kegagalan memperoleh sesuatu standard atau piawaian tertentu seperti Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) turut menjadi sebab utama mengapa PKS kita gagal memenuhi permintaan luar negara. Di Mihas sendiri, ada produk peserta kami mendapat perhatian dari pembeli luar negara. Namun disebabkan kurangnya pendedahan kepada usahawan berkaitan kepentingan sesebuah piawaian bagi menembusi pasaran luar negara, usahawan kita gagal memenuhi permintaan ini.

Pada pandangan anda, apakah potensi produk halal di Malaysia pada masa depan?

Nilai pasaran halal global melebihi AS$2.1 trilion (RM6.5 trilion) setahun bagi sektor utama halal seperti makanan dan minuman, farmaseutikal, konfeksionari dan daging mentah. Selain itu, lebih RM680 bilion dicatat bagi tahun 2010 untuk sektor makanan dan minuman saja.

Di negara kita saja pada 2010, sebanyak 4,787 sijil halal dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri. Angka ini secara puratanya meningkat sehingga 25 peratus setiap tahun. Peningkatan ini jelas menandakan jumlah permintaan produk halal yang semakin tinggi.