Monday 14 November 2011

Taylor's University Pertama Tawar Kursus Halal

TAYLOR'S University melalui Fakulti Biosains menjadi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pertama di negara ini menyediakan mata pelajaran elektif Halal melalui program kursus Sains Makanan dan Pemakanan.

Naib Canselor dan Presidennya, Prof Datuk Dr Hassan Said, berkata kerjasama itu dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) yang diadakan dengan pihak Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin, di universiti berkenaan, baru-baru ini.

Beliau berkata, melalui memorandum ini, pihaknya sekali lagi merintis jalan dalam usaha memastikan pelajar sentiasa mengikuti perkembangan dan keperluan industri.

"Industri halal kini berkembang pesat di peringkat antarabangsa dan Malaysia kini mampu menyaingi negara lain melalui HDC yang turut memperjuangkan industri halalke seluruh dunia.

"Sebagai negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam, pihak universiti membuka peluang kepada pelajar fakulti ini untuk mendalami aspek pemakanan halalsekali gus membantu industri pada masa depan," katanya.

Majlis itu turut disaksikan Dekan Fakulti Biosains Taylor's University, Dr Stacey Yong dan Naib Presiden HDC, Dr Malik Musharaf.

Dr Hassan berkata, pihaknya menyediakan pilihan mata pelajaran elektif merangkumi dua mata pelajaran Halal baru yang mendapat kelulusan HDC kepada pelajar yang mengikuti pengajian ijazah Sains Makanan dan Pemakanan serta Sains Bioperubatan.

"Dua mata pelajaran itu ialah pengenalan kepada Makanan Halal dan Prinsip Pengurusan Perniagaan Makanan Halal. Subjek Halal ini akan mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih yang dilantik khas oleh HDC.

"Pembelajaran teori termasuk interaksi secara langsung dan juga komponen e-pembelajaran digunakan bagi memudahkan pengajian pelajar selain lawatan luar sebagai latihan amali sepertinya proses samak menjadi salah satu silibus pelajar dalam kursus ini," katanya.

Beliau berkata, kerjasama yang dijalankan bersama HDC ini memastikan graduan Taylor's University akan dilengkapi dengan segala kemahiran dan pengetahuan terutama dalam industri makanan Halal. Usaha ini juga dilihat membuka peluang kerjaya kepada pelajar atau graduan universiti itu.

Sementara itu, Jamil berkata, usaha menjalankan kerjasama bersama IPTS adalah peluang terbaik bagi memajukan industri Halal yang bermula di peringkat universiti.

Beliau turut merakam ucapan tahniah kepada Taylor's University atas kejayaan menjadi IPTS pertama menawarkan subjek meliputi segala aspek Halal sekali gus membangunkan industri Halal yang kini permintaannya mencecah RM6.3 trilion setahun (US$2.1 trilion).